Friday, June 18, 2010

Memahami Maksud Surah Yasin

Pertama sekali maaf kepada bukan muslim jika anda membaca artikel ini.
Setiap kehidupan ada susun atur, bergitu juga dengan Al-quran, dalam hal ini surah yasin adalah hati kepada Al-quran,Rasulullah bersabda: "Setiap sesuatu ada hatinya, dan hati Al Quran adalah surat Yasin, Allah mencatat kepada orang yang membacanya, dengan bacaan Al-Quran sepuluh kali lipat". (Hadis Sunan At Tirmidzi Jilid 4. Hadis Nombor 3048. Hadis ini hasan gharib, - maksudnya sanad (jalan riwayat) hadis menunjukan hadis ini termasuk dalam perkara yang boleh dipersoalkan, oleh sebab itulah ianya diterima oleh sesetengah ulama’ dan diketepikan oleh yang lainnya.

Hati, ia melambangkan perasaan, ia juga ringkasan kepada semua kisah kisah yang tertulis didalam Al-Quran

Dari segi ilmu perubatan tradisional, para pengamalnya biasa terdiri dari mereka yang boleh mengubati para pesakit secara spritual, mereka yang mengamalkan surah ini dengan baik serta memahami isikandungan, maka akan diberi kebolehan yang tersendiri, ia bergantung kepada niat seseorang itu.Sebagai contoh, jika seseorang ingin berubat cara yang terbaik ialah pesakit itu perlu solat hajat, kemudiaan tujuh orang ahli keluarganya perlu membaca surah yasin, maka barulah boleh berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tersebut, namun tidak semua pengamal perubatan mengamalkan surah yasin, ada antaranya menggunakan khidmat JIN dalam proses pengubatan mereka. Jika dia mengamalkan surah yasin, maka pesakit perlu melakukan sepertimana yang diberitahu tadi.

Surah Yasin adalah Surah 36 dalam Al-Qur'an dan jumlah Ayatnya ialah 83. Mungkin kita selalu membaca Surah Yasin kerana sesuatu sebab, atau kerana memang jadi amalan kebiasaan kita di hari atau waktu tertentu, tapi kerana kita tidak tahu bahasa Arab, kita mungkin membaca Yasin tanpa merenung maksud ayat-ayatnya. Berikut saya salinkan maksud setiap Ayat dari Surah Yasin untuk direnungkan. Semoga bermanfaat:

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Yasin 36:1. Yaa Siin.

Yasin 36:2. Demi Al-Qur’an yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

Yasin 36:3. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,

Yasin 36:4. Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam).

Yasin 36:5. Al-Qur’an itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,

Yasin 36:6. Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk-neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran, sebab itulah mereka lalai.

Yasin 36:7. Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman siksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

Yasin 36:8. Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka, (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

Yasin 36:9. Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka, maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

Yasin 36:10. Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya mereka tidak akan beriman.

Yasin 36:11. Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Qur’an serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa dia tidak dilihat orang dan semasa dia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.

Yasin 36:12. Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

Yasin 36:13. Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

Yasin 36:14. Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya, kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu.

Yasin 36:15. Penduduk bandar itu menjawab: Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan), Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta.

Yasin 36:16. Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

Yasin 36:17. Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata.

Yasin 36:18. Penduduk bandar itu berkata pula: Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab siksa yang tidak terperi sakitnya.

Yasin 36:19
. Rasul-rasul itu menjawab: Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau.

Yasin 36:20. Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu.

Yasin 36:21
. Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk.

Yasin 36:22. Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

Yasin 36:23
. Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

Yasin 36:24. Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Yasin 36:25. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku).

Yasin 36:26
. (Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Dia berkata, Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui

Yasin 36:27. Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.

Yasin 36:28. Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka) dan tidak perlu Kami menurunkannya.

Yasin 36:29
. (Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

Yasin 36:30. Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.

Yasin 36:31. Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).

Yasin 36:32. Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

Yasin 36:33. Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati, kami hidupkan ia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

Yasin 36:34. Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya beberapa mata air,

Yasin 36:35. Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka, maka patutkah mereka tidak bersyukur?

Yasin 36:36
. Maha Suci Tuhan Yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, samada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Yasin 36:37. Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam, Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita,

Yasin 36:38. Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari, ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya, itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui,

Yasin 36:39
. Dan bulan pula Kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

Yasin 36:40. (Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

Yasin 36:41. Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat,

Yasin 36:42. Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.

Yasin 36:43. Dan jika Kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka, (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka dan mereka juga tidak dapat diselamatkan,

Yasin 36:44. Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.

Yasin 36:45. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini) dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat, (mereka tidak mengindahkannya).

Yasin 36:46
. Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

Yasin 36:47. Dan apabila dikatakan kepada mereka: Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu, berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Dia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata.

Yasin 36:48. Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu).

Yasin 36:49. Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).

Yasin 36:50. Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

Yasin 36:51. Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati, apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

Yasin 36:52. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul.

Yasin 36:53. Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

Yasin 36:54. Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.

Yasin 36:55. Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan,

Yasin 36:56
. Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin,

Yasin 36:57. Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki,

Yasin 36:58
. (Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

Yasin 36:59. Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).

Yasin 36:60
. Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata terhadap kamu!

Yasin 36:61. Dan (Aku perintahkan): Hendaklah kamu menyembahKu, inilah jalan yang lurus.

Yasin 36:62. Dan sesungguhnya syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu, (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

Yasin 36:63. Yang kamu saksikan sekarang ialah Neraka Jahanam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

Yasin 36:64. Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!

Yasin 36:65. Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

Yasin 36:66
. (Mata hati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

Yasin 36:67. (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya, maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

Yasin 36:68. Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah, hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

Yasin 36:69. (Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan,

Yasin 36:70. Supaya dia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya) dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

Yasin 36:71. Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

Yasin 36:72
. Dan Kami jinakkan ia untuk kegunaan mereka, maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka dan sebahagian lagi mereka makan.

Yasin 36:73
. Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman, maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

Yasin 36:74. Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).

Yasin 36:75
. Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab siksa) kepada mereka.

Yasin 36:76. Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

Yasin 36:77. Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah dia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

Yasin 36:78. Serta dia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu) dan dia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil dia bertanya: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?

Yasin 36:79. Katakanlah: Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya dan Dia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya),

Yasin 36:80. Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu.

Yasin 36:81. Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Dia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dialah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

Yasin 36:82. Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: Jadilah engkau!. Maka ia terus menjadi.

Yasin 36:83. Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Semoga apa yang dikongsi bersama akan dapat memberi ilmu kepada semua
sekian terima kasih

1 comment:

Anonymous said...

jadi! maka jadilah

subhanallah,,besar kekuasaan Allah,

>sd<